Saturday 23 April 2011

Ketahuilah


Waktu Mustajab Berdoa

Dikala kita semua sibuk mengejar duniawi...., rebutlah ruang-ruang keemasan yang ada dicelah-celahnya untuk memohon kesejahteraan dari Ilahi.....

Menurut Ibn 'Atha, doa itu mempunyai beberapa rukun yang kuat menyebabkannya naik ke langit untuk diterima Allah SWT. Rukun yang paling utama ialah hadir hati dan memohon dengan tawadduk. 

 Masa Mustajab berdoa:

Berdoa sewaktu hujan turun. 
Sabda Nabi SAW: "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu; sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun." (HR Abu Dawud)

Ketika hendak solat.
Pada waktu tengah malam terutama sepertiga akhir malam. 
Sabda Nabi SAW: "Allah SWT turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata: 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Kukabulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon keampunan untuk Kuampunkan?'" (HR Bukhari dan Muslim)

Waktu di antara azan dan iqamah.  
Sabda Nabi SAW: "Tidaklah ditolak doa diantara azan dan iqamah." (HR al-Tirmizi)

Ketika sujud dalam solat. 
Sabda Nabi SAW: "Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah ketika waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdoa." (HR Muslim)

Selesai solat fardu
Sabda Nabi SAW ketika ditanya tentang mestajab doa: "Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu." (HR al-Tirmizi)

Ketika berpuasa.
Sabda Nabi SAW: "Tiga bentuk doa yang dimustajabkan Allah, doa ibu bapa terhadap anak, doa orang yang berpuasa dan doa orang bermusafir." (HR al-Baihaqi)

Malam al-Qadar. 
Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadan. Kemungkinan besar ia berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan berdasarkan kepada beberapa hadis yang menggesa para sahabat mencari malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir.
Aishah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: "Sekiranya saya bertemu dengan Lailatul Qadar, apakah yang perlu saya baca? Jawab Rasulullah SAW: 'Sebutlah olehmu Ya Allah, sesungguhnya Kamu Maha Pemaaf lagi Maha Mulia. Kamu sukakan kemaafan. Jesteru, maafkanlah aku.'" (HR al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Naza'ie)